Doa amat penting kerana doa itu merupakan cetusan keimanan seseorang hamba ke hadrat Allah S.W.T yang Maha Agung untuk memohon memenuhi sesuatu yang tidak akan dicapai melainkan dengan pertolongan-Nya.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa.
(Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).
Doa memainkan peranan penting dalam merubah suasana hidup seseorang hamba jika dia itu menghayati kaedah dan cara yang ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W.
Doa dalam islam merupakan satu usaha dan senjata yang perlu ada pada setiap mukmin yang memerlukan sesuatu yang mungkin samada dalam waktu dharurat atau pun dalam waktu biasa. Usaha ini perlu disepakati oleh semua anggota badan secara suci dan penuh yakin. Isinya ialah rayuan atau permohonan pada perkara yang boleh jadi, bukan perkara sebaliknya. Arah dan tempat permohonannya ditujukan kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Orang yang berdoa itu hendaklah diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya agar doanya itu dikabulkan oleh Allah S.W.T.
- PENGERTIAN DOA –
Doa pada bahasa :
Doa dalam pengertian bahasa bermaksud permintaan, seruan dan permohonan. Orang yang berhajat sesuatu perkara atau bantuan dan pertolongan daripada orang lain yang lebih berkuasa dan tinggi kedudukannya contohnya seperti seorang anak yang berhajat kepada sebuah buku untuk belajar, ia akan meminta kepada ibu bapanya. Kalau permintaannya itu difikirkan baik dan bermanfaat, maka si ibu akan menerima permintaannya permohonan yang dilakukan oleh seseorang terhadap seseorang yang kedudukannya lebih berkuasa dan tinggi daripadanya.