~*KaRaMKaN DiRiMu DaLaM LaUTaN ZiKiR, ReBaHKaN DiRiMu Ke DaDa SoLaT, TiNgKaTKaN DiRiMu DeNGaN aMaLaN SuNaT. NeSCaYa DiRiMu aKaN BeRoLeH BeRKaT & RaHMaT*~

Sunday, May 13, 2012

**Tiga Maslahat Pengurai Tali Simpulan Kehidupan**


Syeikh Said Hawa berkata “ Ulama fikah berpendapat, mengimani Islam secra keseluruhannya adalah syarat sahnya Islam seseorang. Ia juga adalah syarat sahnya ucapan dua kalimah syahadah. Berdasarkan ini, sesiapa yang tidak mengimani islam secara keseluruhannya, iaitu tidak mengimani Islam adalah akidah, ibadah dan sistem hidup yang merangkumi seluruh permasalahan mukalaf sama ada yang berkaitan dengan urusan dunia ataupun akhirat, kafirlah ia. Namun sekiranya dia sekadar cuai dengan meninggalkan perkara yang diperintahkan ke atasnya ataupun melakukan perkara yang tidak dianggap membatalkan syahadah, dia tetap kekal sebagai seorang Muslim, tetapi perbuatannya dianggap sebagai fasiq”.

Islam tidak dianggap secara terpisah-pisah diantara satu dengan yang lain iaitu bidang syariat, bidang akhlak, bidang ekonomi, bidang perubatan dan yang lain. Ia diibaratkan seperti kaki yang tidak dapat dipisahkan dengan tubuh badan manusia. Kehilangannya menyebabkan kepincangan pada hidup manusia. Di samping itu, Islam juga tidak menerima sebarang bentuk campur aduk dengan falsafah hidup yang lain.

Imam Qatadah berkata “ Jangan kamu campuradukkan cara hidup Yahudi dan Nasrani dengan Islam kerana Allah hanya menerima Islam sebagai agamamu.”

Terdapat 3 maslahat (keperluan) yang dipelihara dan diselesaikan oleh Islam untuk manusia untuk menjamin sebagai agama yang lengkap.

·         *** Perkara Daruriyat
·         *** Perkara Hajjiyat
·        ***  Perkara Tahsiniyat

PERTAMA :  PERKARA DARURIYAT

Perkara ini merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa keperluan ini, kehidupan manusia akan hancur dan ianya akan mendatangkan seksaan pada hari akhirat. Keperluan daruriyat terbahagi kepada lima bahagian :

  • ·         Agama
  • ·         Nyawa
  • ·         Akal
  • ·          Keturunan
  • ·         Harta benda

Kelima-lima bahagian ini mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Sekiranya diabaikan salah satu darinya, kenikmatan yang dialami oleh manusia tidak akan lengkap. Justeru, Islam memelihara perkara-perkara ini dengan dua cara. Pertama, dengan melaksanakannya dan kedua dengan memastikan supaya ia terus berkekalan. Perlaksanaan agama adalah dengan tertegakknya rukun-rukun Islam dan rukun Iman yang telah diketahui umum. Untuk memastikan agama ini kekal hingga keakhirnya, umat Islam diwajibkan untuk berjihad untuk mempertahankan kesucian islam dari dikotori oleh tangan-tangan jahiliyyah.

Nyawa merupakan titik nadi setiap manusia. Tiada nyawa maka tiada agama yang ditiupkan ke dalam dirinya dan tiada akal yang dianugerahkan padanya.  Nyawa adalah hadiah yang amat bermakna oleh Allah kepada hamba-Nya dan manusia wajib untuk menjaga nikmat yang diberi. Melaksanakan dan mengekalkan maslahat nyawa ini adalah dengan menggalakkan perkahwinan supaya dengan itu kesinambungan keturunan anak-anak Adam berterusan di muka bumi ini.

Akal adalah sistem yang menjamin tahap kesedaran manusia untuk membezakan perkara yang halal dan haram, baik atau pun yang buruk. Islam memelihara akal dengan mewajibkan umat Islam mencari ilmu disegenap ruang untuk memantapkan minda. Akal yang dipenuhi ilmu akan senantiasa menterjemahkan perkara yang terbaik dan juga sentiasa mengutamakan kehendak Islam daripada kehendak manusia. Islam juga mengharamkan segala benda yang haram kerana ianya akan menjejaskan akal manusia. Sebagai contoh arak yang mana menghilangkan kewarasan manusia untuk berbuat sesuatu perkara dengan meletakkan nafsu sebagai ketua mereka.


Keturunan adalah maslahat yang telah dipelihara oleh Islam dengan membenarkan pergaulan antara lelaki dengan perempuan melalui perkahwinan yang sah. Untuk menjamin kesucian Islam, mereka yang berzina disebat sebanyak 100x dan direjam sehingga mati bagi mereka yang sudah berkahwin.

Islam memelihara dan menggalakkan manusia memiliki harta benda untuk kesenangan mereka. Umat Islam digalakkan berusaha untuk mencari harta sebara halal . islam juga memelihara masyarakat daripada penindasan dan kezaliman dengan mengharamkan penipuan, riba, rompakan dan sebagainya.

KEDUA : PERKARA HAJJIYAT

Perkara hajjiyat bermaksud perkara yang diberi kesenangan dan kemudahan oleh Islam kepada umatnya untuk menghilangkan kesempitan dan kesusahan sama ada dalam bidang muamalat ibadah, adat, hukuman dan sebagainya. Jika tiada kemaslahatan ini, manusia akan mengalami penderitaan tetapi tidak sampai kepada kehancuran umat. Islam memberikan rukhsah (keringanan) dalam ibadah pada manusia di saat-saat memerlukan.

Sebagai contoh :
  • ·         Mengizinkan seseorang berbuka puasa semasa sakit atau bermusafir.
  • ·         Islam mengizikan penceraian dan poligami sekiranya perlu.
  • ·         Islam menyuruh setiap hakim mengetepikan hukuman ke atas seseorang yang disyaki, apabila terdapat unsure-unsur syubhah pada kesnya.

KETIGA : PERKARA TAHSINIYAT

Maslahat ini adalah aspek “bunga”. bunga dihias didalam rumah yang sedia lengkap untuk menaikkan dan melengkapkan seri indah rumah tersebut. Inilah yang boleh digambarkan dengan perkara Tahsiniyat. Perkara yang menyempurnakan kehidupan seseorang disamping menjaga maruah dan akhlak manusia dalam semua bidang.

Sebagai contoh :

  • Dalam ibadah, islam mewajibkan wuduk dan menutup aurat. Islam juga menggalakan seseorang memakain wangi-wangian sebelum solat.
  •  Dalam bidang muamalat, islam mengharamkan sebarang bentuk penindasan dan kesamaran dalam perniagaan. Jadi Islam mensyariatkan konsep khiyar atau jaminan bagi memudahkan transaksi ketika berjual beli.

Kesemua maslahat ini menunjukkan agama Islam mampu menyelesaikan masalah umat Islam dalam kehidupannya secara komprehensif . Ini kerana, Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah serta keperluan manusia.


www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...