~*KaRaMKaN DiRiMu DaLaM LaUTaN ZiKiR, ReBaHKaN DiRiMu Ke DaDa SoLaT, TiNgKaTKaN DiRiMu DeNGaN aMaLaN SuNaT. NeSCaYa DiRiMu aKaN BeRoLeH BeRKaT & RaHMaT*~

Tuesday, May 15, 2012

**Hidayah Milik Allah**


Seorang gadis ayu bernama Rosana Tury, lahir dalam sebuah keluarga Kristian Katolik di California. Sudah menjadi kebiasaan, ibu dan ayah Rosana membawanya ke gereja lantaran mereka berdua sangat kuat berpegang kepada ajaran agama mereka. Setiap kali si gadis melihat patung di dalam gereja…pasti akan terdetik di hatinya. “Apakah sebenarnya yang disembah? Mana Tuhannya?”

       Pernah beberapa kali beliau bertanyakan hal itu kepada ayahnya. Ayahnya menyatakan bahawa Tuhan itu telah bersatu dalam roh Jesus di hadapannya dan simbolnya pada patung tersebut. Rosana menerima jawapan tersebut seadanya.

Hinggalah pada suatu hari, sebuah keluarga muslim dari Abu Dhabi mendiami rumah berhampiran rumah mereka. Kedatangan keluarga tersebut hanya sementara kerana salah seorang daripada mereka menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital di sana.

Hubungan yang akrab antara Rosana dan anak gadis keluarga Muslim itu telah membawa Rosana ke Abu Dhabi untuk melancong ketika keluarga muslim itu kembali ke kampong halaman mereka.

Dan berlakulah detik hidayah Allah menembusi jiwa gadis Kristian Katolik yang bernama Rosana Tury ini. Dia terkejut daripada tidurnya kerana mendengar suara laungan yang kuat membelah kedamaian subuh.

Allahuakbar….Allahuakbar….

Allahuakbar….Allahuakbar….


       Suara azan Subuh menyebabkan Rosana bingkas bangun… di sisi katil, sahabatnya, seorang Muslimah itu tersenyum di atas hamparan sejadah dan bersedia untuk menunaikan solat Subuh.

       “Suara apakah itu?” Tanya Rosana kehairanan.
       “Suara azan yang menyeru kami untuk bangun mengingati Allah.”
       “Apakah kata-kata seruan itu?”
       “Allah Maha Agung, Allah Maha Besar, Allah Maha Perkasa.”

       Tiba-tiba Rosana teringat akan tuhan yang selama ini disembahnya di gereja. Kenapa tuhan itu bersatu dengan yang lain, seperti terkurung di dalam patung yang sempit?

       Pagi berikutnya… Rosana terjaga lagi daripada tidurnya. Kali ini dia terasa seakan-akan seruan itu menyentap jantungnya. “Allah Maha Besar…Allah Maha Agung….”

       Ketika muazin (tukang azan) menyeru, “Marilah menuju kejayaan, marilah menuju kejayaan…”

       Pada saat itu, Allah lapangkan hati Rosana dengan nur hidayah-Nya. Nikmat Islam telah diizinkan oleh Allah untuk meresap ke dalam hati anak gadis ini, mengalir terus ke seluruh urat tubuh Rosana.

Hatinya berkata :

       “Ayuh Rosana… inilah Tuhan yang selama ini menjadi pencarian dan persoalan kamu. Kamu telah berjaya sampai kepada kejayaan yang hakiki… Kamu telah mengenali Allah yang menciptakan langit dan bumi. Rasailah kejayaan yang telah melapangkan hati kamu yang sempit ini. Nikmatilah kejayaan yang membawa kamu kepada kebahagiaan yang abadi.. Tiada Tuhan selain Allah Yang Disembah oleh sahabat Muslimahmu itu.”

       Lemah seluruh tubuh Rosana, tidak termampu rasanya menampung nikmat yang teramat hebat, hidayah Allah. Air mata kesyukuran mengalir semahunya…deras di pagi subuh yang syahdu itu.

       “Mari kuajarkan wahai sahabatku, Rosana… Asyhadu Alla ilaha IIallah… Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.”

       Rosana akhirnya menjadi seorang Muslimah yang meneruskan kehidupannya untuk memperkukuh iman dengan mendalami al-Quran. Setiap kali mendengar azan… jiwa Rosana menangis… kalimah itulah yang telah menjadi wasilah untuk dia mengenal Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(QS. Ali Imran : 102)

~*Allah S.W.T tidak akan menerima agama selain islam kerana Islam satu-satunya agama yang diredhai-Nya. Tiada sesiapa yang layak dan mampu memberikan hidayah kepada seseorang kecuali Allah kepada sesiapa jua yang Dia kehendaki. Namun kita selaku manusia diberi kemampuan untuk membuatkan diri kita mati di dalam keadaan beriman sedangkan Allah S.W.T juga telah menunjukkan kepada kita jalan untuk mencapai jalan redha-Nya*~



www.tips-fb.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...